AFZANIZAR menunjukkan barangan yang dirampas FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


DUA kumpulan penjenayah pecah rumah dan kilang, berjaya ditumpaskan polis daerah Melaka Tengah selepas tertangkapnya ketua serta ahli kumpulan terbabit pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tangkapan ke atas enam ahli Geng Arab Batu Hampar yang giat melakukan kegiatan pecah rumah itu sejak awal 2018 hingga awal tahun ini berjaya menyelesaikan tujuh kes.

Katanya, kegiatan itu tumpas selepas dua bulan risikan dan siasatan dijalankan menerusi penubuhan Pasukan Khas “Strike Team for House Breaking and Theft” (HBT), di bawah bahagian siasatan jenayah daerah itu.

“Kita menahan enam Geng Arab Batu Hampar termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai Arab berusia 26 tahun.

“Ketua kumpulan terbabit ditahan 15 Februari lalu kira-kira 11 malam, disusuli beberapa lagi siri tangkapan ke atas lima lagi ahli kumpulan berusia 26 hingga 36 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Afzanizar berkata, kumpulan terbabit melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu malam dengan mensasarkan kediaman tidak berpenghuni di sekitar bandar Melaka, Bukit Baru, Banda Hilir dan Batu Berendam.

Menurutnya, selain memecah masuk rumah dan mengambil pelbagai barangan berharga, kumpulan ini juga melarikan motosikal yang berada dalam kawasan pagar rumah.

Katanya, siasatan awal mendapati ketua geng terbabit mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah pecah rumah dan curi motosikal, manakala enam lagi rekod membabitkan kesalahan dadah.

“Daripada enam suspek, lima positif Methemphetamine manakala seorang lagi negatif.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457, 379A dan 411 Kanun Keseksaan,” kata Afzanizar.

Antara barang rampasan daripada geng terbabit ialah masing-masing tiga motosikal dan televisyen; satu kereta Perodua Kancil dan peti besi; dua beg tangan, iPad dan monitor komputer; enam komputer riba dan tujuh jam tangan dianggar bernilai RM80,000.


ANTARA motosikal yang dirampas/sita. FOTO Khairunisah Lokman

Dalam kes berasingan, Afzanizar berkata, pihaknya turut menahan tiga ahli termasuk ketua Geng Sugu Batu Berendam yang giat melakukan pecah masuk kilang dalam daerah ini, ditahan 19 dan 22 Februari lalu.

Katanya, ketua kumpulan terbabit dikenali sebagai Sugu berusia 39 tahun bersama-sama dua lagi ahli kumpulan masing-masing berusia 42 dan 46 tahun itu ditahan di Batu Berendam dan Durian Tunggal.

“Geng Sugu ini mensasarkan kilang baru dan kilang yang dalam proses ubah suai, untuk mencuri kabel,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya ketua dan ahli Geng Sugu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan dua kes pecah kilang sejak awal tahun ini

Afzanizar berkata, pihaknya merampas masing-masing satu kereta Perodua Kembara dan motosikal Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM15,000.

Katanya, ketiga-tiga suspek positif dadah, dan kes disiasata disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:32 PM