Nik Ros Azhan tengah) menunjukkan dadah bernilai RM196,250 semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Bukit Mertajam. FOTO Rosli Ahmad
Hadzlihady Hassan

GANJA seberat 80 kilogram dirampas selepas polis memeriksa sebuah Perodua Myvi di Kilometer 137 Lebuhraya Utara Selatan di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, pemandu lelaki berusia 42 tahun diarahkan berhenti bagi pemeriksaan oleh tiga anggota Polis Peronda Lebuhraya Bukit Aman.

Anggota polis kemudian menemui lima kotak yang ditutup rapi di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta sebelum menyoal kandungan dalam kotak itu kepada lelaki terbabit.

Bagaimanapun, lelaki itu gagal memberi penjelasan selain dilihat dalam keadaan khayal sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui 80 ketulan ganja berharga RM196,250 dalam lima kotak.

“Siasatan lanjut mendapati suspek ketika itu dari Seberang Jaya menghala Jambatan Pulau Pinang dipercayai mahu masuk ke pulau.

“Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk dipasarkan di pulau dan suspek yang tidak bekerja itu dikesan aktif mengedar dadah sejak tahun lalu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, polis percaya ketika ditahan lelaki itu baru mendapatkan bekalan ganja berkenaan namun pihaknya masih menjalankan siasatan dari mana sumber bahan terlarang itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah morfin dan dia juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek kini di reman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori kerana mengedar dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 4:29 PM