Laporan portal Harian Metro mengenai tindakan seorang bapa menghentak kepala anaknya menggunakan tukul.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


“KAMI kenal ayah dan ayah takkan bertindak sebegitu kepada adik.

“Ketika dirawat di Hospital Parit Buntar, ayah sempat maklum pada kami, dia langsung tak ingat ketika kejadian berlaku,” kata ahli keluarga membabitkan kes seorang bapa dikatakan menghentak dengan tukul anak perempuannya hingga parah pada kepala.

Anak kedua daripada empat beradik yang hanya ingin dikenali sebagai Wan, 28, berkata, selepas kejadian itu, ahli keluarga lain, termasuk jiran, bapa saudara dan ibu saudara segera ke rumah bagi mengawal keadaan.

“Waktu itu ayah dalam keadaan terpinga-pinga dan tidak menyedari apa yang berlaku.

“Sehinggalah salah seorang ahli keluarga membaca bacaan (surah) Yasin pada ayah dan selepas itu ayah meronta-ronta sebelum melarikan diri menaiki motosikal hingga merempuh sebuah kedai penduduk di sini.

“Susulan kejadian itu kepala ayah terluka dan tulang tapak tangannya retak, bukannya ayah mencederakan dirinya sendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Wan, dia tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku disebabkan bapanya dirasuk sesuatu.

“Tak mungkin dia bertindak sebegitu memandangkan adik saya anak yang paling ayah sayang.

“Bila seseorang dalam keadaan sebegitu (dirasuk), macam-macam perkara luar jangka boleh terjadi.

“Saya harap netizen tidak menokok tambah dan memperbesarkan kes ini. Hanya kami anak dan ahli keluarga yang tahu dan hadapi semuanya,” katanya.

Wan berkata, pihaknya turut menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran sebarang gambar adiknya yang sedang dirawat itu kerana dalam keadaan tidak bertudung dan mengaibkan dia serta keluarga.

Katanya, adik perempuannya yang baru menamatkan pengajian di sebuah universiti di Kuala Lumpur dalam bidang akauntan itu kini stabil dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Berdasarkan cerita adik sebelum ini, dia sudah mendapat dua tawaran kerja pada bulan hadapan dan dalam dilema untuk memilih pekerjaan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata suspek kini direman selama lima hari sehingga 9 Mac ini.

Berita berkaitan

Tergamak ayah...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 7:07 PM