ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman ladang tanah gambut di Beris Lalang, Bachok sejak 3 Februari lalu. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


HANYA kerana sikap pentingkan diri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan terpaksa mengeluarkan kos lebih RM800 sehari untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di sekitar Beris Lalang, Bachok, sejak Ahad lalu.

Aktiviti membakar kawasan bagi membuka kebun dan membuang puntung rokok ketika memikat burung di kawasan ladang seluas 6.25 hektar itu turut memusnahkan tanaman penduduk lain.

Seramai 35 anggota bomba dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) terbabit dalam operasi terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, kawasan terbabit adalah di Kampung Gelung Badak membabitkan kawasan tanaman kelapa sawit dan pokok getah.

“Kebakaran tanah gambut sering berlaku setiap tahun akibat perbuatan tidak bertanggungjawab manusia yang sengaja membuat pembakaran, namun mereka tidak memikirkan, usaha untuk memadamnya memakan masa lama.

“Kita terpaksa keluarkan kos yang banyak dalam operasi pemadaman tanah gambut ini, termasuk makan minum anggota, minyak pengangkutan dan sebagainya.

“Pada masa sama, kebakaran yang tidak dikawal juga menyebabkan kemusnahan tanaman sekali gus merugikan penduduk lain,” katanya ketika ditemui ketika operasi pemadaman Beris Lalang, Bachok, hari ini.

Dalam operasi hari ini, Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Nazili Mahmood turut mengadakan lawatan ke lokasi terbabit.

Menurutnya, tahun ini pihaknya sudah memadam kebakaran tanah gambut di beberapa kawasan Beris Lalang seperti Kampung Baru Hujung Lidah, Kampung Beoh dan Kampung Kual.

“Bomba mengambil masa hampir tiga minggu untuk memadam semua kebakaran dan yang paling terkini adalah di sini yang terbakar sejak 3 Mac lalu dan kita jangka dapat padam sepenuhnya esok,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kebun, Munah Daud, 75, berkata, kebakaran turut memusnahkan ladang getahnya.

“Saya sedih kerana belum sempat mengambil hasil, kebun getah sudah hangus terbakar kerana perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 7:56 PM