DUA lelaki menaiki motosikal menyamun seorang wanita di depan rumahnya di Taman Sri Gombak, Gombak, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG wanita ditetak dua penjenayah menaiki motosikal yang menyamun mangsa di depan rumahnya di Taman Sri Gombak, Gombak, semalam.

Kejadian 2 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang kemudian tular selepas dimuat naik di media sosial sejak malam tadi.

Dalam rakaman CCTV berdurasi 41 saat itu menunjukkan dua penjenayah terbabit yang menaiki motosikal Yamaha Y150 berwarna merah memberhentikan kenderaan itu di belakang sebuah kereta Proton Satria diletakkan di depan rumah mangsa.

Pembonceng motosikal itu yang membawa senjata dipercayai parang kemudian turun lalu menyerang wanita berkenaan, manakala seorang lagi suspek yang menunggang motosikal terbabit memusingkan kenderaan berkenaan sebagai persediaan untuk melarikan diri.

Penunggang motosikal itu kemudian dilihat turut turun sambil membawa senjata dipercayai parang lalu membelasah mangsa.

Mereka kemudian melarikan diri dengan memecut motosikal terbabit untuk beredar dari lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa cedera akibat ditetak selain gelang emas milik mangsa dilarikan dua penjenayah berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arsad Kamaruddin ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:31 AM