SUZAIMIE (kanan) memberi penerangan kepada Mohd Adha berkaitan bayaran Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) arwah isterinya, Norsupinah Sketika berkunjung di kediaman mereka di Pekan Layang-Layang, Kluang, semalam. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


“DUIT ini ibarat bakti terakhir arwah kepada saya dan anak,” kata Mohd Adha Kiman, 34, suami kepada Norsupinah Suratman, 32, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru pada 23 Februari lalu.

Mohd Adha berkata, tidak menyangka masih layak menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat kerana arwah berhenti kerja sejak Julai 2015.

Katanya, bagaimanapun penilaian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati arwah isterinya adalah Orang Berinsurans (OB) dengan pertubuhan berkenaan, sekali gus membolehkan dirinya dan empat anak berusia dua hingga 11 tahun layak menerima bantuan.

“Arwah pernah bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Johor Bahru dan berhenti pada Julai 2015 kerana mahu menumpukan perhatian kepada anak.

“Bagaimanapun, sejak awal Januari lalu kesihatannya terjejas hinggalah meninggal dunia 23 Februari lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

“Wang Pencen Penakat yang bakal diterima bermula Mac ini akan dijadikan simpanan anak dan hanya akan digunakan ketika mereka dewasa kelak,” katanya selepas dikunjungi Pengurus PERKESO Kluang, Suzaimie Abdul Aziz di rumahnya di Taman Puteri, Layang-Layang, Kluang, semalam.

Menurutnya, diharapkan wang akan dimasukkan ke dalam akaun empat anaknya itu digunakan sebaik-baiknya dan menjadi kenangan pengorbanan arwah ibu mereka.

“Wang FPM ini saya cadang untuk mengadakan tahlil arwah manakala selebihnya disimpan sebagai kegunaan masa akan datang terutama perbelanjaan persekolahan anak.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada pengurusan PERKESO Kluang yang segera membuat semakan caruman arwah walaupun tiada sebarang permohonan dibuat,” katanya.

Mohd Adha berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka Norsupinah layak mendapat faedah hasil caruman yang dilakukannya ketika masih bekerja di Johor Bahru.

Menurutnya, dia menganggap selepas berhenti kerja, sebarang komitmen untuk membuat tuntutan daripada PERKESO terputus namun hakikatnya masih layak sehingga mencapai umur berpencen 60 tahun.

Sementara itu, Suzaimie berkata, hasil semakan pihaknya mendapati keluarga Norsupinah layak menerima FPM sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat sebanyak RM475 sebulan bermula Mac ini.

Katanya, Mohd Adha sebagai suami akan menerima bayaran pencen sepanjang hayatnya manakala empat anaknya menerima bayaran sama hingga mereka berusia 21 tahun atau ijazah pertama, jika melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“PERKESO berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dengan memaklumkan kepada kami berkaitan arwah kerana melaluinya kami dapat membantu mereka yang berhak mendapatkan bayaran faedah caruman.

“Diharapkan bayaran ini dapat membantu keluarga melalui detik sukar dan meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:23 AM