ANTARA pekerja asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


LAPAN pekerja warga asing ditahan dalam Ops Bersepadu di beberapa lokasi sekitar Sungai Petani selepas diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, semalam.

Dalam operasi bermula 11.30 pagi itu, seramai 124 warga asing diperiksa ketika sedang bekerja di kilang, pasar raya, dan premis kediaman.

Daripada jumlah itu, hanya lapan berusia antara 18 hingga 38 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan, iaitu enam lelaki Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki Pakistan dan Myanmar.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya melancarkan operasi membabitkan 14 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah.

“Enam lelaki warga Bangladesh di tahan di sebuah kilang mereka bekerja. Bagaimanapun, ada di antara mereka yang cuba melarikan diri sehingga memaksa anggota bertugas mengejar kira-kira 100 meter di belakang kilang sebelum ditangkap.

“Sementara, dua lagi warga Pakistan dan Myanmar ditahan di rumah sewa masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

Katanya, kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:51 AM