ANGGOTA polis memeriksa motosikal yang dicuri. Rosli Ilham


PEMUDA dikenali Fahmi Absober yang melarikan diri selepas dibuang daerah ke Jeli Kelantan berjaya diberkas polis di Kampung Kubang Miang, Dungun, semalam.

Pemuda berusia 20 tahun yang dikenakan tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) itu ditahan di tepi jalan kampung berkenaan kira-kira 6.15 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, suspek dihantar ke Jeli, Kelantan untuk menjalani tahanan kerana kesalahan mencuri motosikal.

Beliau berkata, suspek perlu menjalani hukuman itu selama dua tahun di Jeli, Kelantan.

“Bagaimanapun, sebaik dihantar ke situ, suspek melarikan diri pada hari sama untuk pulang ke kampungnya di Dungun.

“Malah, suspek turut mencuri sebuah motosikal jenis SYM di sebuah masjid di Jeli ketika pemiliknya sedang menunaikan solat Maghrib.,” katanya.

Menurutnya, polis yang menerima laporan kehilangan suspek segera melakukan siasatan sebelum mendapati pemuda terbabit berada di Dungun.

“Selain itu, suspek turut menunjukkan motosikal dicurinya yang disembunyikan di dalam semak tidak jauh dari lokasi dia ditahan.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 9:17 AM