DUA pendatang asing tanpa izin (PATI) lagi ditahan petang semalam dipercayai antara lima PATI yang turut di tahan di lokasi berbeza di sempadan semalam. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang bersembunyi di sempadan negara selepas menahan dua lagi warga Myanmar di kawasan bukit laluan paip gas berhampiran Pos 5, Bukit Kayu Hitam, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, lelaki dan wanita berusia 31 dan 19 tahun itu ditahan dalam masa berasingan oleh dua kumpulan ronda pasukan Batalion ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) .

Katanya, PATI terbabit dipercayai antara lima PATI yang ditahan semalam apabila mereka terpaksa keluar dari tempat persembunyian akibat lapar dan dahaga.

“Wanita terbabit ditahan oleh kumpulan ronda yang diketuai Koperal Guppeli Anam selepas ternampak dia sedang berjalan di kawasan berkenaan seorang diri, selepas ditahan dia gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Usaha menjejaki saki baki PATI kemudian diteruskan oleh kumpulan ronda diketuai Pegawai Waran II Shaharudin Izham, 5 petang sebelum seorang lelaki ditahan selepas dilihat berjalan di kawasan yang sama,” katanya, hari ini.

Abdul Aziz berkata, kedua-dua PATI terbabit kemudiannya dibawa ke markas dan diberikan makan serta minum sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Semalam, seorang daripada lima PATI yang ditahan iaitu lelaki etnik Rohingnya menyerah diri kepada anggota ATM akibat terlalu dahaga dan keletihan berhampiran Pos 5.

Lima PATI berusia antara 19 hingga 23 tahun ditahan di Pos-pos operasi Briged 6 selepas dipercayai berpecah bagi mengelak dikesan anggota keselamatan.

Berita berkaitan

PATI serah diri akibat keletihan, dahaga

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 10:50 AM