GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan diumumkan pada 14 Mac ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, seramai 421,706 calon mendaftar untuk menduduki SPM di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 362,754 calon adalah Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; 9,427 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan dan 8,160 calon Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Selain itu, seramai 2,059 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat; 14,001 calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan 25,305 calon persendirian,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi hari sama.

“Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Selain itu, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS 15888,” katanya.

Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi, 14 Mac dan akan ditamatkan 6 petang 20 Mac.

“Keputusan juga boleh disemak melalui laman web Lembaga Peperiksaan (LP) di alamat sppat.moe.gov.my/semakan,” katanya.

Bagi calon SPM 2018 yang ingin mengambil SPM Ulangan 2019 atau SPM sebagai calon persendirian tahun 2019, pendaftaran dibuka bermula pada 14 hingga 31 Mac ini.

“Pendaftaran boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman sesawang LP , sppat.moe.gov.my.

“Urusan pengesahan pendaftaran dan pembayaran hendaklah melalui Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon ingin menduduki peperiksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:26 PM