POLIS menurunkan poster along. FOTO Ihsan FB Polis Daerah Johor Bahru Utara
Mohd Sabran Md Sani


KATA-kata manis memikat hati peminjam, namun padah menanti kerana Along bukan saja mengenakan bunga tinggi malah sanggup membunuh bagi menuntut wang yang diberikan.

Itu antara nasihat diberikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) menerusi laman Facebooknya terhadap kegiatan pemberi pinjaman haram (along) yang aktif menawarkan pinjaman wang di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, amaran itu diberikan pihaknya kerana tidak mahu orang ramai terjebak dengan sindiket pinjaman along yang sentiasa menindas peminjamnya.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan individu atau sindiket dipercayai along serta ceti haram yang sentiasa mengucapkan kata-kata manis sebelum memberi pinjaman wang secara haram dengan kadar bunga tidak masuk akal.

“Jika gagal melunaskan hutangnya, sindiket ini akan bertindak ganas terhadap peminjam sehingga sanggup membunuh,” katanya yang turut berkongsi nasihat di FB itu.

Mohd Taib berkata, bagi membanteras kegiatan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD JBU menurunkan 29 keping poster dan iklan pinjaman along di pasang di kawasan pentadbirannya, semalam.

“Pada masa sama enam nombor telefon along dikenal pasti menawarkan pinjaman kepada orang ramai menerusi iklan digantung di daerah ini.

“Operasi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dari terus berleluasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:51 PM