FOTO Hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI yang diburu polis, Alvin Chow Mun Fai, 43, kerana menghina Nabi Muhammad SAW dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis kini sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan lelaki itu.

Katanya, siasatan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 232 SKMM kerana memberi komen jelik dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Buat masa ini, polis masih mengesan individu berkenaan dengan kerjasama SKMM dan kita percaya lelaki itu masih berada di sekitar Lembah Klang.

“Cuma, polis masih belum mengenal pasti lokasi sebenar lelaki itu dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka dapat tampil menyalurkan maklumat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2018 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Dalam majlis berkenaan, seramai 63 penerima mewakili 9,988 pegawai kanan, pegawai dan anggota lain-lain pangkat PDRM menerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018.

Antara yang hadir menerima APC itu termasuklah Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mazlan Mansor.

Berita berkaitan

Polis terima 929 laporan hina Islam, Nabi Muhammad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 2:15 PM