Pemandangan dari Pantai Teluk Likas kelihatan bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dilitupi jerebu berikutan aktiviti pembakaran terbuka setempat termasuk kebakaran beberapa kawasan paya gambut yang dikesan di sekitar Beaufort dan Bongawan. FOTO Khairul Azry Bidin
Mohd Izham Unnip Abdullah

TIGA lokasi di Sabah mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana sejak pagi ini, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka di beberapa kawasan.

IPU tertinggi dicatat di kawasan Beaufort iaitu 68, diikuti ibu negeri (64) dan Keningau (54), manakala daerah lain masih mencatat IPU sihat, iaitu di bawah 50.

Berdasarkan peta taburan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS), Labuan turut mencatat IPU sederhana dengan bacaan 57 setakat tengah hari ini.

Keadaan itu menyebabkan ruang udara di kawasan terbabit mulai kelihatan berjerebu.

Pengarah JAS Sabah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata, situasi berkenaan berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka setempat termasuk kebakaran beberapa kawasan paya gambut yang dikesan di sekitar Beaufort dan Bongawan.

“Semua disebabkan sumber tempatan (punca jerebu). Ada kebakaran di kawasan Klias, Beaufort dan Bongawan, serta kawasan lain seperti Kimanis di Papar,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort, enam lokasi kebakaran paya gambut dan belukar dikesan di daerah itu ketika ini iaitu di Kampung Takuli, Lumat, Lambunau, Selagon, Kubu dan Luagan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 3:39 PM