GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


WANITA yang sedang menjalankan upacara keagamaan di sebuah kuil di Pekan Saga, Rantau, dekat Seremban, parah ditikam di perut oleh seorang lelaki yang dipercayai mabuk, semalam.

Mangsa, K Jaya Veni, 51, dari Taman Mewah Linggi Air Kuning, ditemui dalam keadaan kritikal sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), untuk rawatan.

Sumber berkata, dalam kejadian 7.30 malam, wanita itu ke kuil untuk beribadat sebelum didatangi lelaki berusia 40-an yang tidak dikenali.

“Lelaki terbabit dikatakan mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam perut mangsa. Perbuatan itu menyebabkan mangsa rebah dan mengalami pendarahan yang banyak.

“Orang awam yang tiba di kuil terkejut melihat keadaan mangsa segera menghubungi polis dan anak lelaki mangsa berusia 21 tahun. Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke HTJS,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, ketika kejadian, suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan melarikan diri selepas kejadian.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di rumahnya di Pekan Saga, jam 7.35 malam.

“Hasil penahanan suspek, polis turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa, baju dan seluar suspek. Soal siasat dilakukan, suspek mengaku menikam mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, suspek direman enam hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca wanita itu ditikam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:42 PM