Gambar hiasan
Mohd Khidir Zakaria

DALAM tempoh 24 jam lalu, empat kes penipuan atas talian dilaporkan di daerah ini membabitkan kerugian lebih RM6,000.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat keempat-empat mangsa kelmarin dan semalam.

Menurutnya, kes pertama membabitkan remaja perempuan berusia 18 tahun yang membeli telefon pintar Iphone X melalui atas talian minggu lalu.

“Mangsa mendakwa melakukan enam kali transaksi berjumlah RM3,750 ke dua akaun bank berbeza. Namun selepas seminggu, dia masih belum mendapat barangan dibeli dan penjual gagal dihubungi,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes kedua membabitkan wanita warga Vietnam yang mendakwa ditipu rakan senegara menerusi laman sosial Facebook bagi pembelian 120 helai pakaian bernilai RM1,750.

Katanya, kes ketiga dilaporkan adalah pembelian komponen kereta membabitkan kerugian RM600 manakala kes keempat membabitkan pembelian barangan perhiasan rumah bernilai RM288.

“Semua mangsa membuat laporan polis apabila menyedari ditipu suspek yang gagal dihubungi selepas mereka melakukan transaksi wang,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah tertarik dengan tawaran harga murah di laman sosial selain mendapatkan identiti penjual, nombor telefon dan testimoni pelanggan terdahulu bagi mengelak ditipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:48 PM