GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


POLIS menahan seorang remaja yang dipercayai memecah masuk sebuah rumah di FELCRA Keruak, Jertih semalam, sebelum melarikan wang tunai RM200 dan sebuah alat pengecas mudah alih (power bank).

Suspek berusia 18 tahun itu ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Bukit Payung, Pasir Akar, Jertih, kira-kira 6.30 petang hari sama.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, gerakan memburu remaja itu dijalankan susulan laporan dibuat wanita berusia 31 tahun selepas rumahnya dimasuki suspek kira-kira 3.30 pagi.

Katanya, mangsa yang tersedar daripada tidur menjerit selepas terkejut melihat remaja itu di rumahnya menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri.

“Sebaik suspek beredar, mangsa membuat pemeriksaan sebelum mendapati wang tunai dan power bank miliknya hilang dipercayai dilarikan suspek.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pasir Akar untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:21 PM