Peniaga Medan Selera Semarak berkumpul membantah tindakan pemaju minta mereka mengosongkan premis perniagaan dengan segera. FOTO Mahzir Mat Isa


SERAMAI 37 penjaja di Medan Selera Semarak, Jalan Padang Tembak di Kuala Lumpur, berasa teraniaya selepas diminta mengosongkan premis masing-masing dengan segera tanpa pampasan serta tapak perniagaan baru.

Mereka kecewa kerana diperlakukan sedemikian kerana sudah hampir 40 tahun berniaga di situ.

Kesal dengan isu itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat yang menaungi penjaja terbabit mohon kerajaan dapat membantu mereka.

Pengerusi PPPKM Mohamed Tarmizi Mohamed Akil berkata, pihaknya berharap kerajaan mengambil tahu nasib penjaja terbabit kerana mereka tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

Menurutnya, penjaja terbabit risau selepas menerima notis supaya mengosongkan premis daripada pemaju tapak itu bermula 25 Februari hingga Isnin lalu.

“Kini, mereka dihalau. Kami mohon pihak berkaitan atau pemaju, tolonglah bantu mereka cari tempat yang baik jika mahu ambil tempat ini.

“Carilah tempat yang boleh mereka berniaga atau apa-apa cara bantu peniaga ini supaya mereka tak melarat. Takkan peniaga Melayu ini dihalau macam itu saja,” katanya ketika sidang media, hari ini.


Mohamed Tarmizi berkata peniaga yang sudah hampir 40 tahun berniaga di situ dikehendaki pindah tanpa pampasan. FOTO Mahzir Mat Isa

Hadir sama Yang Dipertua PPPKM Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Abdullah serta penjaja terbabit.

Mereka turut berpiket bagi menunjukkan kekecewaan dan mahu kekak berniaga di situ.

Mohamed Tarmizi berkata, bagi mendapatkan pembelaan pihaknya menyerahkan surat bantahan bertarikh 28 Februari lalu kepada beberapa pihak termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi belum ada jawapan.

“Kalau halau semata-mata, tiada pampasan dan peruntukan untuk berniaga di mana-mana tempat, maknanya mereka akan hidup melarat dan masa depan tidak menentu kerana sudah lama berniaga di kawasan ini.

“Mereka yang sudah beli rumah nak kena bayar duit rumah, menanggung anak belajar, malah ada nak bayar duit kereta.

“Berilah mereka berniaga di sini. Mereka bukan menyamun, bukan mencuri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, walaupun tapak premis itu dimiliki pemaju, pihak berkaitan tidak boleh lari daripada tanggungjawab terhadap nasib peniaga terbabit.

Menurutnya, kerajaan perlu campur tangan dengan sekurang-kurangnya membela hak dan kebajikan mereka.

“Berundinglah dengan peniaga, supaya ada persefahaman dalam hal ini, seperti nak pindah di mana, tapak di mana, bukan halau begitu saja.

“Memanglah tanah ini pemaju yang punya. (Tapi) kalau mereka berpakat tak nak pindah, nak duduk di sini ramai-ramai, lagi susah. Berundinglah dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:33 PM