Zahratulhayat Mat Arif


GADIS berusia 24 tahun yang parah di kepala selepas dipercayai dihentak dengan tukul pemecah dinding oleh bapanya dalam kejadian di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau di sini, kelmarin berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kini mangsa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Dia berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital susulan kecederaannya itu.

“Polis masih menyiasat apa yang berlaku di sebalik kejadian bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, dilaporkan hanya disebabkan anak perempuannya belum bekerja, seorang lelaki tergamak memukul kepala gadis itu dengan tukul.

Kejadian berlaku di rumah mereka menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar (HPB) sebelum dirujuk ke HRPB.

Polis dimaklumkan oleh petugas HPB pada 7.25 malam kelmarin selepas mendapati mangsa parah dipercayai dipukul menggunakan senjata tumpul dalam kejadian antara 5.30 hingga 6.30 petang.

Kejadian dikatakan berlaku ketika suspek yang baru pulang dari kerja sebelum menghampiri mangsa yang ketika itu sedang membaca al-Quran lalu memukul kepalanya beberapa kali.

Lelaki itu dipercayai kecewa apabila anak perempuannya masih menganggur selepas memperoleh ijazah dalam bidang perakaunan.

Ahli keluarga kemudiannya tampil mendakwa kejadian itu berlaku dalam keadaan lelaki itu seperti tidak sedar tindakannya dan mangsa adalah anak kesayangannya.

Susulan kejadian itu, suspek yang berusia 58 tahun direman selama lima hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 9:46 PM