Gambar hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


SEORANG lagi pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Danny A'antonio Jr' yang mengeluarkan komen jelik terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW ditahan polis, malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek yang berusia 28 tahun akan direman hari ini.

“Suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Siasatan terhadap suspek juga dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, orang tidak sepatutnya menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi yang boleh mendatangkan ketegangan suasana antara kaum di negara ini.

“Polis berharap agar masyarakat di negara ini lebih sensitif dan tidak menyalahgunakan sebarang rangkaian media sosial bagi memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Tindakan itu boleh mencetuskan ketegangan kaum di kalangan masyarakat majmuk di negara ini dan ia menyalahi undang-undang," katanya.

Semalam, polis menahan pemilik akaun Twitter @alvinchow33 kerana menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di pusat beli-belah Plaza Pudu, di Kuala Lumpur, jam 5 petang semalam dan juga direman hari ini.

Kelmarin, Mohamad Fuzi berkata, polis menerima 929 laporan dan membuka 16 kertas siasatan berhubung individu yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Katanya, polis sudah mengambil tindakan dengan menahan serta mengambil keterangan tiga individu iaitu lelaki menggunakan nama Bakakuk atau nama sebenar Mohd Shahrulnizam Stanley Sigan, 29 sudah ditahan polis Ahad lalu di Labuan dan kini direman sehingga hari ini.

Individu kedua adalah pemilik akaun Facebook Ayea Yea yang dikenal pasti milik individu bernama Alister Anak Cogia dan ditahan di Bau, Sarawak Isnin lalu dan direman juga sehingga hari ini.

Individu ketiga ditahan di Petaling Jaya, juga pada Isnin lalu adalah pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Yazid Kong atau nama sebenarnya Mohd Yazid Kong Abdullah, 52 yang sudah direman kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 10:41 AM