Mohd Sabran Md Sani dan Nurul Amanina Suhaini.


SEORANG murid pengsan, manakala lima lagi muntah-muntah selepas terhidu tumpahan gas kimia di sungai berdekatan dalam kejadian di dua sekolah di Taman Pasir Puteh di Pasir Gudang, hari ini.

Timbalan Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Lokman Hakim Sulaiman berkata, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 5.15 pagi

Katanya, maklumat diterima membabitkan bau yang disyaki gas kimia dari kawasan sungai di situ.

“Hasil pemeriksaan terdapat kesan bahan kimia dan gas dikesan jenis metana,” katanya yang masih menjalankan operasi di kawasan itu sehingga kini.

Katanya, tindakan pengosongan kawasan dilakukan dalam jarak 500 meter yang membabitkan 1,400 pelajar SMK Taman Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih.

MANGSA dibantu pihak berkuasa. FOTO Hairul Anuar Rahim

“Didapati seorang pelajar lelaki pengsan dan lima yang lain mengalami muntah termasuk seorang pelajar lelaki akibat terhidu gas itu,” katanya.

Sementara itu, satu maklumat mengarahkan ibu bapa mengambil anak-anak mereka dari sekolah dikeluarkan pihak sekolah selepas mendapat nasihat bomba.

Makluman itu meminta ibu bapa dan penjaga membawa pulang anak-anak mereka selepas berlaku limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan sekolah.

“Ibu bapa boleh menjemput anak-anak sekarang dengan segera. Yang nenaiki van, minta ibu bapa hubungi pemandu van untuk mengambil anak-anak di sekolah.

“Ibu bapa yang tidak dapat menjemput anak, boleh maklumkan kepada guru kelas.

“Sesi petang juga ditangguhkan pada hari ini. Murid sesi petang tidak perlu hadir ke sekolah,” kenyataan pihak sekolah ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:02 PM