FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan mengugut ibunya selepas wanita itu tidak memberikan wang.

Muhammad Syakir Afiq [email protected], 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syakir didakwa membuat ugutan jenayah ke atas Zaifah Mohd Amin, 41, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus, 8 malam pada 11 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Chia Bih Huah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 3:11 PM