MOHD Khairul meninjau rumah sewa mereka yang hangus dalam kebakaran awal pagi tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Siti Rohana Idris


LIMA beranak dari Kampung Kubang Palas Luar, Tumpat tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka hangus dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 3.50 pagi ketika Miss Hamina Abdullah, 33, bersama suaminya, Mohd Khairul Mohd Noor, 38, baru pulang daripada berniaga burger.

Miss Hamina berkata, kebakaran bermula dari bilik tidur anaknya dan ketika kejadian, ketiga-tiga anaknya yang berusia enam hingga 14 tahun sedang tidur di bilik berkenaan.

“Saya pula berada di ruang tamu dan terlelap seketika sebelum terkejut apabila anak sulung menjerit mengatakan ada api dalam bilik tidur mereka.

“Saya terus berlari untuk melihat dan terkejut apabila api sudah marak dan tidak dapat dikawal sebelum kami segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Miss Hamina berkata, ketika kejadian, anak keduanya, Mohd Khairil Mohd Khairul, 9, terjaga apabila berasa panas di bahagian kaki dan ketika itu api sudah membakar sebahagian kecil karpet dalam bilik tidur.

Katanya, Mohd Khairil mengejutkan kakaknya, Nor Ain Izzati, 14, sebelum bergegas ke dapur mengambil dua gayung air untuk memadamkan api terbabit namun gagal kerana api semakin marak.

Menurutnya, sebelum keluar, dia hanya sempat mencapai beg duitnya yang berada di atas meja ruang tamu manakala suaminya bergegas menyelamatkan motosikal dan kereta di halaman rumah.

“Duit hasil berniaga burger malam tadi tidak sempat kami ambil kerana berada dalam beg duit suami dan ketika itu ia diletakkan dalam bilik tidur kami.

“Walaupun nilainya hanya RM100 lebih sahaja tetapi ia adalah untuk modal kami berniaga malam ini. Apa nak buat, yang lebih penting adalah nyawa kami lima beranak,”katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Wan Baijuri Wan Hassan berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.58 pagi dan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat serta Darulnaim bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba pada jam 4.11 pagi, kami melihat sebuah rumah kayu jenis sementara kekal sedang terbakar 90 peratus.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa 20 minit dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 3:44 PM