Dr Ahmad Sukari (kanan) Dr Dinsuhaimi melihat Kang Rong Chen dipangku ibunya, Lian Chern di Majlis Pelancaran Kumpulan Sokongan Implan Koklea USM di Dewan Nurani, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my

SEORANG bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan menjadi penerima implan koklea termuda di Asia Tenggara.

Kang Rong Chen mula dikesan mengalami masalah pendengaran di kedua-dua belah telinganya ketika berusia tiga bulan disebabkan oleh penyakit meningitis yang dihidapinya.

Ibunya, Tan Lian Chern, 34, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu dilahirkan normal, namun ketika berusia dua bulan, dia diserang demam panas dan selama sebulan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Sepanjang menerima rawatan di hospital, saya pelik kerana anak saya tidak menunjukkan sebarang tindak balas apabila mendengar bunyi bising di sekelilingnya.

“Ujian saringan pendengaran yang dilakukan mengesahkan Rong Chen mempunyai masalah pendengaran jenis saraf yang teruk pada kedua-dua belah telinganya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kumpulan Sokongan Implan Koklea USM di Dewan Nurani, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Terdahulu Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim melancarkan kumpulan sokongan berkenaan bersempena ‘World Hearing Day’.

Lian Chern berkata, bagi mengatasi masalah pendengaran itu, anaknya menjalani pembedahan implan koklea di telinga kiri pada 22 Mac tahun lalu ketika berusia tujuh bulan, sebelum implan kedua dipasang di telinga kanannya pada enam bulan kemudian di HUSM.

“Selepas dua bulan menjalani pembedahan, anak saya menunjukkan perkembangan positif dan boleh mendengar serta menyebut perkataan ringkas seperti susu.

“Disebabkan dia masih kecil, saya dan suami (Kang Chin Tiong, 35) perlu memantaunya kerana bimbang dia akan mencabut alat pendengaran yang dipasang di telinganya,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Hearing Implant Team (HIT) USM, Profesor Dr Dinsuhaimi Sidek, berkata sejak 2004 sehingga kini, HIT USM berjaya mengendalikan sebanyak 48 kes membabitkan pesakit yang menjalani pembedahan koklea berusia antara tujuh bulan hingga 58 tahun.

“Kos perbelanjaan untuk melakukan pembedahan implan bernilai RM80,000 bagi sebelah implan koklea yang dipasang pada pesakit. Ibu bapa perlu mengesan masalah pendengaran anak mereka sejak lahir melalui saringan neonatal supaya intervensi boleh dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 4:38 PM