AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu membabitkan rampasan RM2.7 juta.

Dua bot itu ditahan ketika nelayan asing terbabit leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding pada jarak 80 batu nautika dari muara Kuala Terengganu antara jam 8.30 hingga 9 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, 21 awak-awak dan tekong berusia antara 15 hingga 50 tahun ditahan.

“Selain 3,500 liter diesel, kita turut merampas 200 kilogram ikan baja (benih ikan), ikan campur termasuk ikan gred A seperti kerapu, merah dan tenggiri 2.5 tan.

“Berdasarkan hasil rampasan, kita percaya bot ini sudah hampir seminggu berada di laut,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Pulau Kambing, Kuala Terengganu hari ini.

Rashidilhadi berkata, dua bot berkenaan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia selain tidak memiliki lesen sah untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di laut.

“Ini adalah tangkapan kali ke-14 bagi tempoh Januari hingga kini.

“Tahun lalu, kita melakukan 1,169 pemeriksaan manakala bagi tahun ini, 293 pemeriksaan sudah dilakukan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut kerana ia bukan saja merugikan negara tetapi kaedah pukat tunda ganding yang digunakan turut memusnahkan benih ikan dan ekosistem perikanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 6:45 PM
Rashidilhadi (tengah) memeriksa bot nelayan asing yang ditahan pihaknya. FOTO Imran Makhzan.