ABU Bakar (tiga dari kanan) meninjau keadaan penyewa PPR Taman Manggis yang berkampung di pekarangan KOMTAR selepas diusir dari rumah mereka. FOTO MIKAIL ONG.
Zuhainy Zulkiffli


SEMUA pihak diminta bertenang dan memberi kerjasama bagi memastikan isu serta masalah menimpa penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown dan Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth selesai dengan segera.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, orang ramai perlu memberi peluang dan ruang kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah itu.

Katanya, beliau akan bertemu dengan semua pihak berkenaan bagi mendapatkan sumber dan laporan sahih termasuk daripada kerajaan negeri, penyewa, Bahagian Perumahan dan penduduk.

“Saya datang ke sini sebagai kapasiti Setiausaha Politik Perdana Menteri, jadi saya minta semua pihak faham dengan situasi ini dan kita yakin tiada masalah tidak dapat diselesaikan.

“Selepas meninjau keadaan penyewa di PPR Taman Manggis, saya akan ke Tanah Wakaf Abdul Cauder pula bagi mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjong di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, masalah menimpa penyewa berkenaan mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di Manila.

Menerusi Twitternya, Perdana Menteri mengarahkan pegawai bagi meninjau masalah yang dihadapi penduduk terbabit.

Selepas sidang media terbabit, Abu Bakar kemudian ke Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bagi bertemu dengan wakil di Bahagian Perumahan.

Selepas pertemuan itu, Abu Bakar meninjau keadaan penyewa PPR Taman Manggis yang masih ‘berkampung’ di pekarangan KOMTAR sejak malam tadi.

Namun situasi menjadi tegang apabila beberapa penyewa terbabit membuat kecoh dan mendakwa Abu Bakat gagal menyelesaikan masalah mereka.

Kereta yang membawa Abu Bakar keluar dari KOMTAR turut disekat penyewa, namun keadaan itu berjaya dikawal serta ditenangkan pihak polis.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Shameer Sulaiman yang turut berada di situ terpaksa dibawa keluar dari kawasan KOMTAR dengan bantuan pihak polis.

Sehingga 8.30 malam, penyewa dan orang ramai masih berkumpul di pekarangan KOMTAR dengan kawalan pihak berkuasa.

Berita berkaitan

'Terpaksa merempat di KOMTAR [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 10:00 PM