IBU bapa dan guru bergambar kenangan bersama pelajar sebelum menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk berlepas ke Turki, hari ini. (Gambar kecil) Aida. FOTO Malik Muhamad.
IBU bapa dan guru bergambar kenangan bersama pelajar sebelum menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk berlepas ke Turki, hari ini. (Gambar kecil) Aida. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad


KECEMERLANGAN sembilan pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu melayakkan mereka melanjutkan pengajian di Universiti Basaksehir, Turki.

Program rintis pertama kali di Malaysia itu bukan saja diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), malah universiti itu turut mempunyai kerjasama dengan Universiti Yarmouk di Jordan yang menjadi antara destinasi pelajar negara ini menyambung pengajian.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Toh Puan Aida Tengah berkata, sembilan pelajar membabitkan lapan lelaki dan seorang perempuan itu akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 10 pagi hari ini.

“Mereka adalah kumpulan rintis pertama dari Malaysia yang dihantar kerajaan negeri belajar di sana selama empat tahun dalam bidang Sarjana Muda Syariah dan Usuluddin.

“Selain kos murah iaitu RM26,000 sepanjang pengajiannya, ijazah daripada universiti itu diiktiraf kerajaan Malaysia kerana menjalin kerjasama dengan Universiti Yarmouk Jordan.

“Hubungan dua hala antara kerajaan negeri dengan Universiti Basaksehir terjalin apabila mereka pernah berkunjung ke Terengganu pada November lalu membolehkan pelajar kita dihantar ke sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang menghantar pelajar ke Universiti Zaitunah, Tunisia tahun depan.

Katanya, sembilan pelajar terbabit ialah Nur Syafiqah Mohd Fauzi, 20; Muhammad Amir Abshar Harizan, 20; Abdul Muiz Ada’[email protected] Zakaria, 19; Muhammad Amirul Haziq Nafi, 19; Syed Ahmad Shukairi Syed Shukran, 19; Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi, 19; Muhammad Asri Ridzuan Ahmad Zaidi,19; Muhammad Danial Abdul Halim, 20, dan Sayed Husin Asyraf Abdul Kadir, 20.

Sementara itu, Pengetua SMAASZA, Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad berkata, beliau bersama warga sekolah berkenaan bersyukur kerana pelajarnya diterima belajar di universiti berkenaan.

“Ini kali pertama pelajar kami dihantar ke Turki dan sudah pasti ia bakal membuka lembaran baharu bukan saja kepada pelajar terbabit, malah pelajar lain khususnya di SMAASZA dan sekolah lain di negeri ini.

“Peluang pekerjaan kepada mereka lebih luas bukan saja di Malaysia tetapi di Turki, Jordan dan negara Arab lain di samping mereka boleh mempelajari bidang ekonomi serta pembangunan pesat di negara itu.

“Selain itu, ia mampu memberi motivasi kepada pelajar lain untuk menerokai ilmu lebih mendalam bagi melahirkan ulama dan umarak kelas pertama dunia,” katanya.

Beliau berkata, 34 pelajar SMAASZA akan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:15 AM
Digital NSTP Subscribe