ANTARA pekerja asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


LARI dengan hanya memakai seluar dalam. Itu cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 24 pekerja asing yang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di tiga lokasi berbeza di Kedah, hari ini.

Operasi bersepadu bersama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu dilakukan di sekitar kawasan rumah di Naka di Padang Terap, Pokok Sena dan Sik bermula 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, seramai 45 pekerja asing diperiksa dalam operasi itu namun hanya 24 ditahan selepas melakukan kesalahan imigresen.

“Dalam operasi itu, seramai 22 warga Myanmar iaitu membabitkan 10 lelaki, tujuh wanita serta lima kanak-kanak ditahan selain itu, masing-masing seorang wanita Thailand dan seorang lelaki warga Indonesia turut ditahan selepas melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Ada antara mereka yang cuba melarikan diri dan cuba bersembunyi di sebalik kawasan semak berhampiran, namun akhirnya tetap berjaya diberkas tetapi ada yang tidak sempat lari kerana sedang nyenyak tidur,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

Katanya, mereka yang berusia antara dua hingga 43 tahun kemudian dibawa ke lokap JIM sebelum dihantar ke depoh tahanan imigresen di Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 10:40 AM