LIM (tengah) menunjukkan heroin yang dirampas. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


TAKTIK dua sahabat menyembunyikan dadah di dalam bantal terbongkar apabila mereka dicekup di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 47 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Sekinchan diketuai Ketuanya, Inspektor Abdul Rahman Khalid, kira-kira 1 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, ketika serbuan mereka berada dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan kecil disyaki dadah jenis heroin seberat 70.65 gram yang dianggarkan bernilai RM2,000.

“Semakan mendapati dua suspek itu memiliki rekod jenayah berkaitan kes narkotik dan mencuri,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Lim berkata, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Myanmar kerana memiliki heroin di Jalan Pantai Bagan, Sungai Air Tawar, Rabu lalu.

“Dalam kejadian 2.31 pagi itu, suspek berusia 38 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan paya bakau berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian menemui empat paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 95.83 gram yang dianggarkan bernilai RM3,000.

“Pemeriksaan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya memaklumkan suspek direman selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 1:04 PM