ANGGOTA polis memeriksa mangsa kemalangan di Jalan Tun Razak. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA polis memeriksa mangsa kemalangan di Jalan Tun Razak. FOTO Ihsan Pembaca
Sharul Nazri Zulkifli Chow


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta rosak di Jalan Tun Razak menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd Fadzil Isa, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dalaman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu lelaki warga emas berusia 64 tahun rosak dan berada di lorong kiri.

“Ketika pemandu sedang membuat kawalan dan meletakkan kon segi tiga di belakang kenderaan, tiba-tiba motosikal Honda EX5 yang dipercayai ditunggang laju datang dari arah belakang lalu melanggar kereta terbabit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 1:27 PM