S Veerapan. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG lagi pesakit kronik yang pernah mendapatkan rawatan hemodialisis di Pusat Hemodialisis Mawar (PHM), Seremban meninggal dunia, menjadikan jumlah terkini tiga bekas pesakit pusat itu meninggal dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, pesakit berusia 68 tahun itu meninggal dunia di rumahnya 2 Mac lalu.

Menurutnya, pesakit terbabit menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi kronik mendapatkan rawatan susulan di pusat hemodialisis swasta lain selepas penutupan PHM.

“Kematian pesakit itu tiada kaitan dengan penutupan PHM sebaliknya disebabkan penyakit kronik dihidapinya, kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan pesakit pada hari pertama pesakit dipindahkan ke hospital kerajaan selepas penutupan PHM bulan lalu.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 40 kes kematian dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan hemodialisis di PHM dilaporkan tahun lalu.

“Oleh itu, tidak wajar mengatakan kadar kematian meningkat disebabkan oleh penutupan pusat berkenaan. Kematian ada juga berlaku di PHM sebelum pesakit dipindahkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, mengikut statistik National Renal Registry 2016 menunjukkan kadar kematian pesakit hemodialisis adalah 13 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit.

Daripada jumlah itu, katanya, 33 peratus kematian disebabkan serangan jantung manakala 16 peratus kematian di rumah.

Selain itu, beliau berkata, proses penempatan semula bekas pesakit PHM dari hospital kerajaan ke pusat dialisis swasta akan diteruskan secara berperingkat.

“Ia akan dibuat mengikut kesesuaian, kemudahan serta kekosongan atau mesin baharu di pusat haemodialisis swasta supaya beban kerja di hospital kerajaan dapat diseimbangkan semula.

“Saya berharap tohmahan tidak berasas yang disebarkan dapat dihentikan. Kerajaan negeri percaya Kementerian Kesihatan sentiasa mengutamakan kesihatan

dan keselamatan pesakit hemodialisis atau mana-mana pesakit yang dirawat setiap masa tanpa prejudis,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, Kementerian Kesihatan membatalkan lesen Pusat Perubatan Mawar berkuat kuasa serta merta kerana melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Berita berkaitan

Nafi kematian pesakit dialisis akibat penutupan PHM

Lesen Mawar Medical Centre dibatalkan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 2:49 PM