Veerapan (kanan) dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali (dua kanan) bersama pegawai JAS Negeri Sembilan memeriksa tapak pelupusan sampah haram yang dijadikan tempat pembuangan bahan buangan klinikal di Kampung FELDA Sendayan, Seremban, Selasa lalu.
Raja Noraina Raja Rahim

BAHAN buangan klinikal seperti tiub darah dan alat penapis atau dializer ditemui dibuang di tempat pelupusan sampah haram di Kampung FELDA Sendayan, Seremban.

Penemuan tapak pelupusan itu dibuat pegawai dan anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan yang menjalankan siasatan selepas menerima aduan awam, Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, JAS memeriksa lokasi itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS).

“Pemeriksaan dilakukan menemui 11 bungkusan buangan klinikal disyaki daripada aktiviti dialisis dibuang di tempat pelupusan berkenaan. Kita mengesyaki bahan buangan itu dilupuskan secara haram oleh kontraktor dilantik.

“Berdasarkan semakan, terdapat 29 pusat hemodialisis di negeri ini dan kita sedang mengenal pasti semua pusat rawatan berkenaan bagi mengetahui dari mana bahan buangan itu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Veerapan berkata, siasatan awal pihaknya berjaya mengesan sebuah pusat hemodialisis di Seremban 2 dengan kontraktor pengangkut buangan terjadual yang dilesenkan oleh JAS melakukan pelupusan di tapak berkenaan.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pusat rawatan dan kontraktor lain yang dipercayai terbabit dalam aktiviti sama.

“JAS mengeluarkan notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengarahkan premis disyaki untuk menjalankan kerja pembersihan dan menyimpan bahan buangan klinikal itu sehingga siasatan selesai.

“Sekiranya bahan buangan itu tidak dibersihkan ia dikhuatiri membahayakan haiwan liar seperti monyet dan anjing yang berkeliaran di kawasan itu serta risiko kepada penduduk yang tinggal berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu larangan terhadap kesalahan penempatan, peletakan, pelupusan buangan terjadual yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 3:31 PM