ANTARA mangsa yang menerima rawatan di HSI. FOTO Hairul Anuar Rahim
Balqis Jazimah Zahari


ENAM daripada 39 mangsa yang terhidu gas metana dipercayai dibuang secara haram ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, semalam, diberi rawatan rapi secara elektif intubasi, iaitu membersihkan paru-paru mereka daripada gas toksik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam mangsa itu ketika ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, dan berada dalam keadaan stabil.

“Tiga daripada enam mangsa ini sudah kita laksanakan intubasi elektif supaya kita kawal paru-paru dan pernafasan mereka, bagi memastikan mereka bersih daripada gas toksik yang boleh merosakkan paru-paru.

“Alhamdulillah, mereka masih dalam keadaan yang baik, yang tiga lagi mangsa hanya perhatian khusus saja dalam ICU, tapi belum buat intubasi lagi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Persidangan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan 2019 di Institut Latihan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di Ipoh, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini 30 mangsa masih ditempatkan dalam wad di hospital berkenaan, manakala tiga orang sudah dibenarkan pulang pagi tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa terbabit stabil namun tahap pernafasan masih perlu dipantau bagi melihat sebarang kesan keracunan gas.

Katanya, daripada 36 pesakit yang sedang dirawat itu, dua daripadanya adalah kanak-kanak, lapan murid sekolah rendah, 13 pelajar sekolah menengah dan 13 orang dewasa.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Dr Noor Hisham mengesyorkan agar Penolong Pegawai Perubatan yang terlatih dijadikan tenaga pengajar dan jurulatih kepada ahli pasukan penyelamat.

Katanya, mereka yang lengkap dengan latihan khusus di peringkat asas dan lanjutan di dalam bidang pengurusan bencana sama ada di dalam dan luar negara sesuai menjadi tenaga pengajar dan jurulatih kepada ahli penyelamat seperti anggota JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ahli sukarelawan lain.

Berita berkaitan

Tekak loya, muntah akibat keracunan gas

Mangsa hidu gas metana stabil

Permaisuri lawat mangsa terhidu gas

Pencemaran gas: Sekolah tutup tiga hari

[UPDATE] 26 masih dirawat, 3 daripadanya di ICU

'Oil boom' halang gas metana merebak

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 4:00 PM