Zuhainy Zulkiffli


TINDAKAN kerajaan negeri mengusir 22 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown, tidak sah kerana ia satu pencerobohan dan jenayah serta tidak mengikut undang-undang.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pengusiran berkenaan didakwa tidak sah apabila keseluruhan proses itu dibuat tanpa mendapat perintah daripada mahkamah.

Katanya, tindakan itu antara lain bertentangan dengan Seksyen 7 (2) Akta Relif Spesifik 1950 dengan notis mengenainya sudah diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus, hari ini.

Menurutnya, tindakan pengusiran ini juga melanggar Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kerajaan negeri juga mengugut bagi mengunci penduduk di dalam rumah jika enggan bekerjasama ketika proses pengusiran, Rabu lalu.

“Jika itu berlaku, mereka sudah melakukan penahanan tak sah yang boleh disaman mengikut ‘habeas corpus’.

“Pengusiran ini tidak masuk akal, selain disifatkan bertentangan dengan slogan yang kononnya kerajaan mendukung Peraturan Undang-Undang,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini.

Difahamkan bahawa Mohd Khairul Azam hanya mewakili tujuh daripada 22 penghuni di PPR Taman Manggis yang diusir kerajaan negeri, sejak Rabu lalu.

Mohd Khairul Azam juga menasihati penghuni mengenai hak mereka bagi memfailkan saman ke atas kerajaan negeri, susulan tindakan pengusiran itu.

“Mereka turut dinasihatkan supaya perlu membabitkan peguam dalam sebarang perbincangan bersama kerajaan negeri kerana mereka berhak berbuat demikian mengikut Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang keputusan sama ada penduduk mahu saman kerajaan negeri atau sebaliknya hanya akan dimaklumkan pada minggu hadapan. Jika kerajaan negeri setuju bagi memfailkan saman, kita akan jumpa mereka di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, mereka enggan berganjak sehingga Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil satu ketetapan membenarkan mereka kembali menyewa di rumah PPR itu dan bukan hanya sehingga Ahad ini.

“Kami nak tinggal di mana lagi selepas itu, anak perlu bersekolah dan kami juga sudah penat tinggal di Komtar seolah-olah kami tiada hak sebagai warganegara.

“Kami hanya mahu kerajaan negeri membenarkan kami tinggal semula di situ, barulah kami bersurai,” katanya ketika ditemui.

Nazrimah antara enam penyewa perumahan berkenaan yang masih berteduh di perkarangan Komtar sejak tiga hari lalu bersama suami dan anak-anaknya yang masing-masing berusia 16,14, sembilan, tujuh dan empat tahun.

Berita berkaitan

Kerajaan negeri kena jumpa penyewa

Diberi hotel, nak balik rumah pula...

'Sila bertenang, beri kerjasama...'

'Terpaksa merempat di KOMTAR [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 4:32 PM
MOHD Khairul Azam yang mewakili tujuh penghuni mendakwa pengusiran itu dibuat secara tidak sah. FOTO Mikail Ong