LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SIASATAN kes kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung ibu sendiri selama lima hari di rumah di Taman Hijrah, Kangar, sudah lengkap.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, fail siasatan terbabit sudah diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

“Sesudah itu pihak D11 akan majukan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi menentukan sama ada kes ini akan dibicarakan atau tidak.

“Jadi kita jangkakan proses itu akan mengambil masa beberapa hari lagi sebelum dibawa ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi di Kangar, hari ini.

Sebelum ini, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dikurung ibunya sendiri di rumah mereka selama lima hari kerana wanita itu dipercayai mengikut teman lelakinya.

Kanak-kanak itu mengharapkan belas ihsan jiran yang memberikan makanan melalui tingkap setiap hari ketika dia merayu meminta makanan kerana lapar.

Mengulas lanjut, Mushar berkata laporan perubatan kanak-kanak itu masih belum dikeluarkan oleh Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Namun, kanak-kanak itu sudah dibenarkan pulang dan kini dia berada di pusat perlindungan serta dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kita masih mengekalkan arahan untuk tidak membenarkan ibu mangsa melawatnya sehingga kes ini selesai,” katanya.

Katanya lagi, kes terbabit masih disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sekiranya terdapat unsur penderaan fizikal, pihak tidak menolak kemungkinan untuk menyiasat di bawah akta yang bersesuaian,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa kurung mungkin didera

Ibu kurung kanak-kanak cuai

[UPDATE] Kanak-kanak dikurung ibu dijaga JKM

'Mak cik, saya lapaq...'

[UPDATE] Kanak-kanak dikurung menangis di tingkap

Sampai hati ibu...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 4:48 PM