Gambar hiasan
Ahmad Ismail


BIARPUN pernah ditahan lima kali membabitkan kes memiliki dadah, selain kes mencuri kenderaan dan mendatangkan cedera menggunakan senjata, seorang lelaki tidak serik melakukan jenayah apabila sekali lagi ditahan polis.

Terbaru, lelaki berusia 46 itu dikesan terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah Segamat dan Labis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Chemplak Barat, Labis, 8.10 malam, kelmarin.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah dipercayai heroin dengan berat kasar 400 gram.

“Ketika serbuan, suspek yang masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan polis ketika dia berada di kediaman terbabit,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.


Beg pinggang dan dua plastik syabu yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Dock, Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam. Foto Ihsan PDRM

Raub berkata, suspek dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan di sekitar Segamat dan Labis, selain kerap bertukar lokasi bagi mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa.

“Suspek hanya berada pada waktu tertentu sahaja di kediamannya bagi mengaburi pihak berkuasa untuk mengelak dikesan atau ditahan,” katanya.

Mengenai jenayah yang pernah dilakukan suspek, Raub berkata, lelaki itu mempunyai rekod lampau lima kes memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek juga pernah terbabit dengan kesalahan bagi Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan dan satu lagi kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah morphine dan polis turut merampas semua dadah yang bernilai RM24,000.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 9:20 PM