Highland Towers dijangka dirobohkan selewatnya Jun ini.
Suhaila Shahrul Annuar

HIGHLAND Towers yang terbiar sejak 26 tahun lalu dijangka dirobohkan selewat-lewatnya Jun ini bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers sedang meneliti pihak yang mempunyai kuasa merobohkan bangunan berkenaan.

“Maklumat terkini yang saya terima, jawatankuasa itu sedang meneliti punca kuasa pihak mana antara Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mempunyai kuasa untuk merobohkan bangunan berkenaan.

“Semua laporan sudah siap, cuma sedang meneliti pihak mana antara dua agensi itu yang mempunyai kuasa merobohkan.

“Selain itu, pihak pemaju juga sudah menyuarakan hasrat mereka untuk menyumbangkan dana kira-kira RM2 juta bagi kerja meroboh.

“Saya harap ia dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Jun tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 Peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Zuraida mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Dalam pada itu, berhubung Hari Wanita Peringkat Antarabangsa, beliau berkata tema sambutan yang dipilih untuk tahun ini iaitu ‘Seimbang Untuk Kesejahteraan’ adalah amat sesuai kerana pembabitan wanita yang seimbang dengan lelaki dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pendidikan amat penting dalam menentukan agenda pembangunan sesebuah negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 9:39 PM