DR Afif (dua dari kanan) meninjau keadaan penyewa yang diusir dari PPR Taman Manggis yang berkampung di pekarangan KOMTAR, semalam.
DR Afif (dua dari kanan) meninjau keadaan penyewa yang diusir dari PPR Taman Manggis yang berkampung di pekarangan KOMTAR, semalam.
Muhammad Yusri Muzamir


PENDUDUK yang diusir dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini, dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing untuk tiga hari bermula semalam.

Exco Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin berkata, keputusan itu diambil sementara perbincangan lanjut diadakan.

“Keputusan ini dimuktamadkan selepas perbincangan bersama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pejabat Perumahan kerajaan negeri.

“Namun, kita belum putuskan sama ada mereka perlu keluar semula daripada unit masing-masing selepas tempoh kebenaran tamat Ahad ini.

“Buat masa ini, kita berbincang mengenai pelan tindakan lanjut yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya di sini, semalam.

Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah diusir daripada kediaman masing-masing di PPR Taman Manggis di sini, dan berteduh di KOMTAR, sejak jam 12 tengah malam, Rabu lalu.

Semua berteduh di pekarangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri selepas hilang tempat berlindung, selain ada yang menumpang di surau susulan arahan pengusiran dikeluarkan Kerajaan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:01 AM