GAMBAR hiasan
Oleh Ibrahim Isa


LELAKI dipercayai pengedar dadah nekad memandu lebih 20 kilometer termasuk melawan arus di sekitar Tampoi dan Skudai, Johor Bahru untuk melarikan diri dari polis, namun ditahan selepas tersekat akibat kesesakan jalan raya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian 7.15 malam itu, sepasukan polis peronda melihat seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memandu Proton Wira Aeroback warna hitam dalam keadaan mencurigakan di Kawasan Perniagaan Danga Pertama, Tampoi.

“Anggota kami menggunakan pembesar suara dan meminta pemandu berkenaan memberhentikan kereta sebanyak tiga kali untuk menjalankan pemeriksaan, namun lelaki berkenaan bertindak memecut kereta untuk melarikan diri.

“Kami cuba memintasnya beberapa kali, namun suspek tetap berdegil dan cuba melarikan diri di sekitar Jalan Pertama Danga Utama sebelum anggota kami menghubungi pusat kawalan Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU untuk mendapatkan bantuan.

“Suspek kemudiannya cuba melarikan diri dengan memandu melawan arus dan memasuki Jalan Sutera Danga, Jalan Skudai, Jalan Skudai Lama, Jalan Titiwangsa Utama sebelum kembali ke Jalan Skudai menghala ke Skudai dalam keadaan agresif dan hampir melanggar kenderaan awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika suspek memandu masuk ke Jalan Sutera Danga berhampiran lampu isyarat Jalan Danga Pertama, kenderaannya terhalang kerana kesesakan jalan raya.

Menurutnya, ia menyebabkan lelaki itu cuba mengundurkan kereta dan melanggar bahagian depan kiri sebuah MPV polis.

Katanya, apabila kenderaan terhenti anggota mengarahkan suspek turun dari kenderaan, namun dia enggan menyebabkan polis terpaksa memaksanya keluar dan menahannya.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu membawa penemuan serangkai kunci, sebilah pisau tidak berjenama sepanjang 22 sentimeter, satu paket plastik lutsinar berisi dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 8.33 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 11.22 gram.

“Selain itu, kami menemui satu alat penimbang yang disimpan di dalam beg di kerusi penumpang hadapan, kami turut memeriksa bahagian belakang kereta dan menemui beg mengandungi dua pemutar skru dan dua playar.

“Hasil siasatan, kami dapati suspek yang berasal dari Skudai itu sanggup membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana bimbang ditahan bersama dadah yang dibawa dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya 1988.

Katanya, suspek dibawa ke IPD JBU bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 KK dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 2:55 PM