Helmy Abd Rahman


“RASA berdengung, lepas tu ‘blackout’ (pengsan)... tahu-tahu saja dah ada atas kereta,” kata ‘budak kerbau’ Mohd Syukur Khamis.

Remaja berusia 14 tahun itu berkata demikian ketika menceritakan kemalangan yang dialaminya akibat terjatuh ketika bermain dengan melompat dari belakang seekor kerbau untuk ke kerbau lain, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Akibat insiden itu, Mohd Syukur terpaksa bermalam di wad biasa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini jam 11.30 malam bagi membolehkan doktor memantau keadaan kesihatannya.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Syukur yang sering digelar ‘Mowgli Malaysia’ berkata, dia terjatuh kerana tersalah langkah ketika melompat.

“Belakang kerbau itu licin menyebabkan saya salah langkah dan tak sempat berpaut. Selepas kejadian saya rasa pening dan muntah beberapa kali semalam.

“Tapi hari ini dah rasa okay, doktor pun beritahu petang nanti boleh keluar (wad),” katanya ketika ditemui di wad biasa HSNZ, hari ini.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira 8 pagi ketika Mohd Syukur bersama beberapa sepupunya bermain di kandang haiwan berkenaan.

Mohd Syukur sebelum itu menjalani sesi fotografi bersama beberapa jurufoto termasuk dari Pulau Pinang.

“Saya tak serik untuk melompat lagi lepas ini, tapi akan lebih berhati-hati,” kata Mohd Syukur.

Sementara itu, Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus berkata, keadaan Mohd Syukur stabil dan tidak membimbangkan.

“Hasil CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer), kita dapati tiada gegaran yang menyebabkan pendarahan dalam otak.

“Kita lakukan CT Scan kerana bimbang selepas Syukur dikatakan muntah sebanyak empat kali, tapi Alhamdulillah, tiada apa-apa dan dia boleh keluar wad petang ini,” katanya.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] 'Mowgli Malaysia' bermalam di wad, keluar esok
  • Berita berkaitan:

  • 'Budak kerbau' Mohd Syukur masuk wad kecemasan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:53 PM
    Mohd Syukur yang dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam dilaporkan stabil. FOTO Imran Makhzan
    Mohd Syukur yang dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam dilaporkan stabil. FOTO Imran Makhzan