KEADAAN Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang dipenuhi tompokan hitam dipercayai sisa bahan kimia berbahaya yang dibuang secara haram pada awal pagi Khamis lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENDUDUK Kampung Bukit Pulai, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, mendakwa Sungai Kim Kim yang berada di kawasan kampung itu masih tercemar dan mengeluarkan bau busuk.

Jarak sungai itu hanya kira-kira 500 meter hingga satu kilometer (km) dari lokasi pembuangan sisa bahan kimia di bawah jambatan yang menghubungkan Taman Pasir Putih dan Taman Kota Masai.

Kawasan sungai yang dilihat masih tercemar teruk itu sukar diakses orang awam termasuk pihak berkuasa melainkan menggunakan bot.

Penduduk Zulkifly Kassim, 50, berkata, dia dan beberapa penduduk kampung terpanggil untuk meninjau kawasan Sungai Kim Kim memandangkan anak-anak penduduk termasuk anaknya bakal ke sekolah, esok.

“Saya terpanggil meninjau kawasan sungai yang lebih ke dalam, kerana saya bimbangkan keselamatan anak yang akan mula ke sekolah esok, jadi bimbang kalau ada yang pengsan dan perkara buruk berlaku.

“Kawasan sungai yang ke dalam itu tidak boleh dilalui menggunakan jalan darat, kalau guna dron tidak nampak kerana ada pokok bakau, ular juga besar-besar.

“Ketika air pasang semalam, kami turun dengan bot, kami lihat tompokan minyak masih terlalu banyak di situ, ia tidak terus ke laut dan berhenti di belakang kawasan Jalan Cermai 13,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

Menurutnya, tidak mustahil minyak itu akan menghasilkan gas beracun hingga membahayakan kesihatan orang ramai.

Kampung Bukit Pulai adalah kampung pertama yang dilalui air Sungai Kim Kim selepas lokasi pembuangan sisa bahan kimia itu.

Pemilik bengkel itu berharap pemantauan, pencegahan dan pelaksanaan pembersihan akan dilakukan secepat mungkin.

“Kalau mereka dapat lihat, ikan kecil dan besar, hidupan sungai lain termasuk biawak pun mati.

“Ia membuktikan pencemaran ini benar-benar bahaya kepada haiwan dan manusia,” katanya.

Penduduk yang juga nelayan, Nur Satria Rabu, 33, berharap sungai tercemar itu dapat dipulihkan segera memandangkan penduduk kampung memerlukan udara dan air sungai bersih.

“Dengan keadaan minyak begini, saya nak turun ke sungai pun bahaya, bau busuk masih kuat, ikan banyak mati, belum cakap pasal sampah lagi, memang sungai ini masih tercemar.

“Harap pihak yang membuang sisa bahan kimia ini fikir tentang keadaan penduduk di sini dan bertanggungjawab dengan apa yang dilakukannya,” katanya.

Berita berkaitan

Pencemaran gas metana: JAS teliti rakaman CCTV

[UPDATE] Polis terima 5 laporan buang sisa kimia

[UPDATE] Sungai Kim Kim akan dibersihkan

Pembuangan sisa bahan kimia Sungai Kim Kim: 79 dirawat

Sisa minyak cuci kapal

Pekerja kolam pula pengsan

Gas metana: Enam mangsa di ICU

Tekak loya, muntah akibat keracunan gas

Mangsa hidu gas metana stabil

Permaisuri lawat mangsa terhidu gas

Pencemaran gas: Sekolah tutup tiga hari

[UPDATE] 26 masih dirawat, 3 daripadanya di ICU

'Oil boom' halang gas metana merebak

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 2:32 PM