Laporan berhubung insiden membabitkan anggota penguat kuasa JAHEAIK dengan suami isteri di Pantai Senok, Bachok.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) membuat laporan polis berhubung penularan rakaman video anggota penguat kuasa menjalankan tugas mencegah perbuatan berkelakuan tidak sopan di Pantai Senok, Bachok, Jumaat lalu.

Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Negeri Kelantan di laman Facebook berkata, laporan polis dibuat semalam bagi mengharmonikan keadaan.

Katanya, tindakan operasi itu dibuat berdasarkan kesalahan mengikut Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah No.2 Tahun 1985.

“Sesiapa dengan sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan. Berpakaian yang berpegangan dengan hukum syarak juga termasuk dalam seksyen itu.

“Apabila disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu, tindakan pegawai agama ketika di lapangan adalah bertanyakan mengenai hubungan pasangan yang mencurigakan.

“Jika gagal mengemukakan dokumen perkahwinan, mereka akan dikenakan saman namun pasangan yang dapat membuktikan status perkahwinan mereka (tanpa ada keraguan) akan dinasihatkan supaya tidak berlebihan-lebihan dalam perbuatan di khalayak.

Katanya, berdasarkan rakaman video yang tular tiada ungkapan perkataan dan perbuatan biadap dan kurang ajar ditunjukkan pegawai penguat kuasa.

“Isu ini ditularkan kepada orang ramai sehingga menimbulkan keaiban dan kegusaran masyarakat terhadap kredibiliti pengua tkuasa agama itu dan JAHEAIK,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Mana kad kuasa?
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 4:05 PM