PETA kawasan PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


MESYUARAT Biro Politik PKR telah memutuskan calonnya yang layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April ini.

Menurut sumber yang memberi bayangan ia adalah calon India, nama calon berkenaan diputuskan pada mesyuarat Rabu lalu yang dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut berada pada mesyuarat itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun.

“Rabu lepas, biro politik telah bermesyuarat membincangkan secara khusus calon PRK Rantau. Nama calon ini akan dibawa untuk perbincangan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk keputusan akhir.

“Cuma apa yang saya boleh sahkan, calon yang diputuskan itu bukanlah Datuk Hanif (Hasan) sekiranya tiada perubahan di saat akhir,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya adakah calon dipilih itu Dr Streram, beliau tidak menafi atau mengesahkan pemilihan doktor pakar bius itu.

Dr Streram adalah calon PKR bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan bertanggungjawab memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRU-14 di Mahkamah Tinggi Seremban pada 23 Meilalu.

Susulan itu, pada 16 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan disebabkan tidak mempunyai pas SPR.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata terdapat berbelas nama yang dicadangkan pada PRK DUN Rantau dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat Biro Politik PKR (Rabu lalu).

Media sebelum ini melaporkan antara nama yang telah dikemukakan sebagai calon adalah Timbalan Ketua Cabang Rembau, Dr S Streram; Ketua PKR Cabang Rembau, R Tanggam; Ketua Wanita PKR Cabang Rembau K Bathmavathi; dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PKR Cabang Rembau, Saparin Musa.

Beberapa nama lain turut tersenarai adalah Naib Ketua Cabang Rembau, Datuk Hanif Hasan yang juga seorang peguam dan anak jati Rantau yang juga bekas Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Saharuddin.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 4:06 PM