ANGGOTA polis merampas dua batu nisan, kayu mimbar dan payung selepas menahan seorang lelaki yang tinggal di dalam surau di Hutan Lipur Bukit Bauk, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“JIN Bukit Bauk lantik saya sebagai Raja Muda di sini,” kata seorang lelaki sebaik ditahan anggota polis di sebuah surau di kawasan Hutan Lipur Bukit Bauk, Dungun, hari ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada 4.15 petang selepas polis menerima laporan berhubung perbuatannya yang mencurigakan.

Suspek yang dipercayai tinggal di surau berkenaan sejak enam bulan lalu itu turut memasang lilin di cermin tingkap surau serta meletakkan kayu mimbar selain sofa di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan berkata, polis merampas dua batu nisan, sebatang kayu mimbar dan sekaki payung yang berada di dalam surau terbabit.

“Perbuatan pelik suspek itu menyebabkan orang ramai bimbang untuk berhenti solat di surau terbabit.

“Kes berkenaan diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Perlakuan pelik lelaki berkenaan jelas menyebabkan orang ramai bimbang serta tidak berani untuk singgah solat di surau berkenaan.

Lelaki terbabit didapati menampalkan perkataan Raja Muda Abdul Aziz di dinding surau terbabit selepas dia dilantik dan ditabalkan sebagai Raja Muda sejak dua bulan lalu.

Selain itu, terdapat payung tergantung, sofa dan kayu mimbar diletakkan di dalam surau itu kononnya sebagai tempat pertabalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 8:12 PM