LELAKI mabuk yang berjaya ditangkap penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TINDAKAN seorang lelaki mabuk menceroboh rumah sepasang suami isteri di kawasan perumahan di Beaufort, membawa padah apabila dicekup penduduk setempat, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi, lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap penduduk dalam keadaan tidak berbaju dan dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu lelaki berusia 43 tahun.

“Menurut laporan, ketika kejadian pengadu bersama isteri sedang tidur namun terdengar bunyi seperti orang berlegar di atap rumah dan bunyi objek jatuh.

“Pengadu kemudian menjerit ‘siapa’ sebelum ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali dan tidak berbaju sedang berselindung di sebalik keretanya di kawasan parkir rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, lelaki itu kemudian membaling batu ke arah tingkap rumah bahagian hadapan dan segera melarikan diri ke belakang rumah melalui sebuah parit besar.

“Pengadu dan isteri segera menjerit untuk meminta bantuan daripada jiran. Sebahagian penduduk bertindak mengejar lelaki terbabit dan berjaya menangkapnya sebelum memaklumkan kepada pihak polis,” katanya.

Azmir berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kerugian harta benda bagaimanapun terdapat saksi yang nampak suspek berada di dalam kawasan rumah pengadu.

“Suspek juga didapati berada di bawah pengaruh alkohol dan tidak berpakaian ketika kejadian. Bagaimanapun, suspek dilihat tidak membawa jenis peralatan pecah rumah.

“Pengadu memaklumkan dia tidak mengenali dan motif suspek berada di kawasan rumah terbabit juga tidak diketahui memandangkan suspek masih di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Katanya, suspek terpaksa dirujuk ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di bahagian tapak kaki dan terdapat kesan lebam di bahagian muka.

“Semakan pada sistem laporan polis (PRS) mendapati suspek tiada sebarang rekod.

“Namun kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:30 AM