Garret Dawum


BAPA bersama anak lelakinya dan lima anak saudara antara 41 individu ditahan dalam operasi bersepadu memerangi kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Serian, semalam.

Serbuan yang bermula 5.30 pagi itu diadakan di 19 kampung dengan kekuatan 101 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita yang ditahan berusia antara 15 hingga 50 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dadah dipercayai syabu seberat 52.63 gram dan ganja 6.3 gram dengan nilai keseluruhan RM10,715.

“Polis turut merampas satu senapang patah dan pedang pendek. Bapa yang ditahan itu dipercayai tokan dadah.

“Lelaki itu dan anak serta lima anak saudaranya ditahan di rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian di Serian, semalam.

Beliau berkata, saringan awal ujian air kencing mendapati 39 daripada yang ditahan positif dadah.

“Siasatan lanjut turut mendapati, ada dalam kalangan suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Serian selain menggunakan sendiri bahan terlarang itu.

“Sasaran awal polis adalah menahan 28 pengedar dadah di sekitar Serian dan operasi ini dianggap berjaya,” katanya.

Sahar berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 (Penalti lebih berat) serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Dua daripada 41 individu terbabit yang ditangkap awal pada Jumaat lalu, ditahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas ADB 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:03 PM
SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam Ops Bersepadu Bil 1 Zon 2 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian. FOTO L. Manimaran