BERNAMA

TIGA belas pendaki dari Johor Bahru diselamatkan selepas tersesat ketika kumpulan berkenaan melakukan aktiviti mendaki di Gunung Berlumut, Felda Ulu Dengar, Kluang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penguasa Kanan Bomba Akob Sedek berkata, pihaknya menerima panggilan 8.50 malam tadi untuk operasi menyelamat itu.

Katanya, daripada laporan yang diterima semua mangsa itu tersesat di antara ‘check point’ ketiga dan keempat gunung berkenaan selain seorang daripada mereka mengalami kecederaan pada bahagian lutut.

“Dalam operasi menyelamat ini, ia disertai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, tiga anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua malim gunung.

“Semua mangsa berjaya dikesan pagi ini dan mereka berjaya dibawa keluar 9 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:14 PM