Hussin merakam kenangan bersama ikan layar gergasi yang tersangkut dalam pukatnya. FOTO Ihsan Hussin July

TIGA jam tempoh diambil nelayan, Hussin July, 58, bagi menewaskan ikan layar gergasi lebih 200 kilogram.

Hussin berkata, ikan layar berkenaan pada mulanya disangka ikan yu yang tersangkut dalam pukat dipasangnya 2 pagi Jumaat lalu.

Namun, selepas pukat itu dinaikkan dan kelihatan paruhnya yang panjang, baru disedari seekor ikan layar yang menjadi buruan kaki pancing.

“Ini kali pertama saya menaikkan ikan bersaiz gergasi, terutama spesis layar yang menjadi buruan kaki pancing.

“Saya terpaksa meminta bantuan tiga rakan lain untuk menaikkan berkenaan ke atas bot malah terpaksa bertarung hampir tiga jam,” katanya ketika dihubungi di Miri hari ini.

Bagi memudahkan ikan itu dibawa ke jeti, dia bersama rakannya terpaksa memotong badan ikan berkenaan kepada tiga bahagian sebelum dijual kepada peraih ikan di Jeti Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:59 PM