Al-Sultan Abdullah menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Al-Sultan Abdullah menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hairulazim Mahmud


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menarik perhatian Sidang Dewan Rakyat hari ini apabila memaklumkan umur baginda sama dengan ulang tahun ke-60 Parlimen.

Secara berseloroh baginda bertitah: “Pada tahun ini Parlimen Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-60, sama umur dengan saya.”

Baginda yang agak santai ketika bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur hari ini, beberapa kali tersenyum lebar melihat ke arah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sepanjang titah ucapan itu, Al-Sultan Abdullah juga sesekali meneguk air di hadapan baginda, sambil meminta ahli dewan bertenang.

“Relaks, relaks,” titah baginda.

Sikap bersahaja Al-Sultan Abdullah membuatkan ahli parlimen lebih selesa dan fokus kepada titah ucapan baginda.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah percaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu malah ia adalah cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah baginda.

Kepada anasir yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, baginda menitahkan supaya tindakan tegas diambil ke atas mereka.

Baginda bertitah, sehubungan itu seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata.

“Sebaliknya semangat perpaduan dan usaha perlu disuburkan dengan ikhlas dan dihargai,” titah baginda.

Berkaitan aspirasi rakyat, Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa rakyat bukan saja mahu pembangunan bahkan kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab dan mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke tahap lebih baik.

“Rakyat juga mahu kerajaan mendengar pandangan dan aspirasi maka adalah wajar pemimpin mengambil kira tuntutan berkenaan ketika merangka sebarang dasar dan program,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 2:50 PM
Digital NSTP Subscribe