GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


SEORANG wanita maut dilanggar kenderaan belum dikenal pasti ketika cuba melihat keadaan suaminya selepas mereka terjatuh dari motosikal akibat tayar pecah di Kilometer 21.1 Lebuhraya LinKedua arah selatan di Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 7.48 pagi itu, mangsa, Gan Kai Woon, 21, cuba mendapatkan suaminya, Liew Chan Hoong, 34, yang cedera selepas mereka tercampak dari motosikal Yamaha LC.

Beliau berkata, mereka dalam perjalanan dari Kulai ke tempat kerja di Singapura sebelum tayar motosikal ditunggang suami mangsa di lorong kecemasan pecah.

“Kejadian berlaku secara tiba-tiba menyebabkan pembonceng motosikal terjatuh di sebelah kiri jalan manakala penunggangnya pula terjatuh ke sebelah kanan jalan.

“Mangsa iaitu pembonceng motosikal kemudian bangun dan cuba memeriksa suaminya yang berada di tepi kanan jalan.

“Malangnya, ketika mangsa merentasi jalan untuk melihat keadaan suaminya, dia dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan tidak dapat dikenal pasti dan pemandu kenderaan itu terus beredar sejurus merempuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa parah di kepala dan badan serta disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai untuk bedah siasat, manakala suaminya turut dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:05 PM