SINDIKET judi dalam talian yang berpangkalan di China dikesan menggunakan aplikasi WeChat untuk meraih keuntungan RM1 juta sehari melalui kegiatan di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, hasil risikan bersama dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah mewah di Bandar Parklands, Klang, Selangor pada jam 5.30 petang tadi.

"Hasilnya polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 20 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai ahli sindiket judi dalam talian itu.

"Ketika ditahan kesemua sindiket sedang leka bermain dan transaksi yang sedang berjalan bernilai RM1.2 juta.

"Kami turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai menjadi orang tengah bagi menguruskan makan minum serta tempat tinggal untuk warga China itu.

"Kami turut merampas 13 komputer riba, 77 telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa modem pelbagai jenama dan alatan elektronik dalam operasi ini," katanya.

Rohaimi, berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket ini akan menyewa rumah mewah, namun tidak akan kekal lama dan ia bagi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja.

"Difahamkan, rumah jenis Semi D ini disewa dengan harga RM3,600 sebulan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik rumah masih dijalankan.

"Modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat panggilan bagi mengendalikan pemain judi dalam talian dari China.

"Namun, jika pemain dari mana-mana negara termasuk Malaysia yang boleh berbahasa Mandarin boleh turut bermain judi atas talian itu," katanya.

eliau berkata, siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 4(1) serta Seksyen 4(B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 10:32 PM
Datuk Rohaimi Md Isa memeriksa peralatan dan alatan komunikasi digunakan sindiket untuk menganjurkan judi dalam talian.